Friday, May 18, 2012


Umno-BN bakal ‘disejarahkan’

Oleh LIM HONG SIANG

LAUNGAN “Reformasi” dengan kelantangan sedemikian berkumandang semula di sekitar Dataran Merdeka, selepas 14 tahun pergolakan politik paling rancak dalam sejarah Malaysia. Jangka 14 tahun mampu mengubah wajah seseorang manusia, bahkan wajah sesebuah masyarakat.

Pelbagai cerita sarat di laman sosial internet, menyaksikan perubahan yang ketara dalam masyarakat Cina sendiri, ketika berdepan dengan tanggal 28 April 2012. Seorang ibu berkongsi pengamatannya di Facebook, “Ketika perhimpunan Bersih 2.0, sahabat saya yang meninggalkan status ‘Saya akan turun ke jalan raya pada 9 Julai’, akan disusuli dengan komen rakan lain, ‘Saya tak dapat turun. Saya berikan sokongan moral kepada anda’. Menjelang perhimpunan Bersih 3.0, apabila seseorang meninggalkan status ‘Saya tak dapat hadir pada 28 April’, komen di bawahnya adalah ‘Kesiannya kamu.’”

Ada juga pengalaman yang mencuit hati. Seorang anak muda Cina tidak berani memberitahu ibu bapanya bahawa dia akan pergi, kerana takut dirinya dihalang. Maka secara senyap-senyap dia keluar pada hari itu. Dan apa yang paling mengejutkan dirinya di situ, rupa-rupanya, ibunya pula yang “curi-curi” keluar untuk menyertai ‘Duduk Bantah’ tanpa memberitahu ahli keluarganya.


Seorang lagi ibu, dihalang anaknya untuk turun kerana bimbang kesakitan pada kakinya bakal menyukarkan pergerakannya. Anaknya memesan, agar si anak sahaja yang turun mewakili pihak orang tuanya. Tapi, orang tua berusia 69 tahun ini berdegil.

Maka pada awal pagi 28 April, dia menipu anaknya bahawa dia keluar bersenam. Anaknya yang mencurigai ibunya mengekori sehingga akhirnya, anak itu terpaksa membawa ibunya ke jalan raya, dan menjaganya sepanjang perhimpunan.

Sememangnya, kelompok manusia yang turun ke jalan raya pada 28 April adalah Malaysia yang sebenarnya, dengan nisbah kaum yang memperlihatkan kepelbagaian, malah jika diperhatikan, kumpulan itu merangkumi pelbagai golongan – artis, penganut agama, OKU yang bertongkat atau berkerusi roda, puak berambut panjang, suri rumah tangga, anak muda yang mengejar trend fesyen dan sebagainya. Kalau disimpulkan dengan satu ayat, saya akan mengatakan bahawa orang yang paling mustahil turun berdemonstrasi sebelum ini, telah menampilkan diri pada hari itu.

Malah pertubuhan Cina yang paling konservatif secara tradisionalnya, juga tidak segan silu turun ke jalan raya.

Golongan ini paling takut dilabel sebagai “antikerajaan”. Paling berani pun golongan yang biasa menulis kenyataan media untuk “menyeru kerajaan agar ini dan itu...”, mereka protes dalam pagar dan berteduh di ibu pejabat Dong Jiao Zong, Kajang pada 25 Mac 2012.

Segala-galanya berubah. Saya terbaca luahan hati seorang guru sekolah menengah Cina, yang ditujukan kepada pengetuanya.

“Sebagai seorang guru, saya memilih untuk ke jalan raya pada hari ini. Tak takut saya kepada mentari yang terik mahupun hujan yang lebat. Tak gentar saya berdepan dengan gas pemedih mata dan meriam air berkimia.

Tak takut juga andainya saya ditangkap polis... Namun saya takut pula untuk memaklumkan anda bahawa saya nak hadir perhimpunan Bersih 3.0. Ini kerana saya takut anda tidak meluluskan pemohonan cuti saya. Bukankah ia sesuatu yang memilukan?”

Di Kuala Lumpur pula, seorang pengetua sekolah menengah swasta Cina memberi amaran kepada pelajarnya agar tidak menyertai Bersih 3.0. Hukumannya dibuang sekolah. Apa yang menarik, ibu bapa kepada pelajar sekolah itu mengadu kepada China Press, dipetik berkata, “Saya menganggap kenyataannya (pengetua) melampau.

Sesetengah pelajar telah menjangkau usia 15 tahun.

Mereka sudah mampu berfikir secara berdikari. Apakah mereka tidak berhak menyertai perhimpunan, menyumbang untuk membina masa depan negara yang lebih baik?”

Bukan sahaja pendidik, malah peniaga yang seringkali dilihat sebagai “mata duitan”, membuat kejutan kali ini. Sebelum 28 April, gambar tersebar dalam laman sosial, bahawa sesetengah tauke telah meletakkan notis di kedainya, berbunyi “Kedai ditutup pada 28 April kerana pemilik kedai ini mahu menyertai perhimpunan Bersih 3.0. Dibuka semula pada 29 April. Harap Maklum.” Malah, ada juga yang menambah, “Jumpa kalian di Dataran Merdeka!”

Saya gagal bayangkan kesemua yang berlaku di atas. Cukup memberangsangkan.

Malah artis-artis terkenal, sama ada turun sendiri, mahupun tinggalkan mesej dalam laman sosial sendiri, sebagai solidariti untuk Bersih 3.0. Duta Pelancongan Malaysia, Fish Leong yang berbuat demikian, didesak untuk menarik balik mesejnya. Seperti biasa, Menteri Pelancongan, Ng Yen Yen menafikan bahawa tekanan itu daripada kementeriannya. Cuma, siapa yang percaya?

Dari laungan “Reformasi” pertama 14 tahun yang lalu, hinggalah ke hari ini, segalagalanya berubah. Keberanian yang menakjubkan - apabila seorang gadis yang menyambut ulang tahun ke-18 pada 28 April, mengangkat kad dengan hasrat hari jadinya “Aman dan Adil”, berlatarbelakangkan tembakan air meriam oleh FRU.

Tinggal Umno sahaja yang tidak berubah, dari dulu, kini dan selama-lamanya. Empat belas tahun lalu Mahathir Mohamad jatuhkan Anwar Ibrahim dengan tuduhan liwat. Hari ini apabila ratusan ribu rakyat ke jalan raya, “skandal seks” Azmin Ali pula yang digunakan untuk mengalih pandangan. Polis dan media yang sama digunakan untuk berdepan dengan masyarakat yang sudah berubah dari 14 tahun lalu. Percayalah, kita akan lakar sejarah baru untuk mensejarahkan Umno-Barisan Nasional.

No comments:

Post a Comment